PRK: Pas letak calon di Kelantan?

PRK: Pas letak calon di Kelantan?

PAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon dari parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) khususnya di Kelantan membabitkan kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri jika berlaku pilihan raya kecil (PRK) membabitkan enam Parlimen dan satu DUN itu.

Bagaimanapun, segala keputusan dalam menentukan calon bergantung kepada proses run­dingan dan perbincangan dengan Pas sentiasa bersedia jika diberi laluan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sudah pastinya mereka akan berbincang sebab ada beberapa pandangan dalam kalangan gabungan tersebut (PN) jika berlaku PRK di kawasan-kawasan itu.

Katanya, sudah menjadi persoalan sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan calon mereka di semua kerusi berkenaan atau mungkin ditandingi parti lain sepertimana di Kuala Kubu Baharu sebelum ini.

Jelas beliau, di Kuala Kubu Baharu, kerusi tersebut adalah milik Gerakan, namun Bersatu yang bertanding.

“Mungkin dalam enam kerusi Parlimen dan satu DUN jika berlaku PRK, akan berlaku perubahan tapi bergantung kepada perbincangan. Di peringkat pimpinan parti, Pas memang bersedia terutama di Kelantan jika Bersatu boleh beri laluan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pas sedia mengetengahkan calon di enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN jika berlaku PRK berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 ekoran tindakan kesemua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan yang mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri.

Sebelumnya, akhbar ini juga melaporkan, PN yakin PRK bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau tidak akan membalas surat arahan yang dikeluarkan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam Bersatu bagi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu.

Sebelum itu, seramai enam ahli Parlimen dan seorang ADUN dari Bersatu dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Perdana Menteri bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×