KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang menjejaki dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Y15 dipercayai melepaskan empat tembakan ke arah rumah pemandu lori di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, pihaknya sedang mengenalpasti identiti kedua-dua suspek tersebut.
Menurutnya, selepas melepaskan tembakan itu kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri ke arah Bunut Susu.
“Polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 4.42 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Pemeriksaan di kawasan depan rumah itu menjumpai empat kelongsong peluru di atas jalan.
“Kelongsong yang ditemukan di lokasi kejadian itu disyaki jenis 9 milimeter (mm). Pengadu mendapati kereta jenis Perodua Viva milik sepupunya ditembak pada cermin bahagian belakang dan sisi kiri kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pada masa masa trak pikup jenis Mitsubishi Triton yang berada di depan rumah berkenaan turut ditembak pada bahagian fender kiri.
Katanya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan mana-mana individu dan hanya melibatkan kerosakan dua buah kenderaan sahaja.
“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan sedang mengenal pasti dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 yang dipercayai terlibat dalam kes itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, tidur nyenyak seorang pemandu lori terganggu selepas dikejutkan dengan bunyi empat das tembakan dilepaskan oleh individu tidak dikenali di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, di sini awal pagi tadi.
Tembakan yang dilepaskan sekitar pukul 3.30 pagi telah mengenai sebuah kereta dan trak pikap yang berada dihadapan rumahnya.-UTUSAN