PETALING JAYA: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas tidak akan menjejaskan hubungan dengan Barat memandangkan kuasa besar dunia lebih mementingkan aspek pelaburan dan perdagangan berbanding isu geopolitik.
Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, negara-negara terlibat tidak akan sanggup menghentikan perjanjian dimeterai sebelum ini kerana tidak mahu menanggung kerugian.
Menurutnya, pelaburan asing ke Malaysia semakin meningkat walaupun sebelum ini Perdana Menteri berkali-kali menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin.
“Negara-negara Barat ini bersifat kapitalis dan lebih mementingkan keuntungan, maka ia tidak akan mengetepikan perjanjian pelaburan dan perdagangan walaupun berbeza pandangan geopolitik.
“Bagaimanapun, kita akan berdepan kesan kecil sahaja ekoran persepsi yang bakal dicetuskan segelintir pihak. Namun, ia kecil jika berlaku sekali gus tidak akan menjejaskan perdagangan dan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri bertemu pemimpin utama pergerakan Hamas, Ismail Haniyeh dalam lawatan rasminya di Qatar ketika penduduk Palestin terus diserang tentera Israel.
Anwar ketika menjelaskan pertemuan itu berkata, Malaysia hanya negara bebas yang menyokong usaha perdamaian di Semenanjung Gaza dan memanfaatkan hubungan baik dengan Hamas tujuan itu.
Beliau berkata, Malaysia mencadangkan Hamas mengambil kira pandangan pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian aman dan segera.
Mengulas lanjut, Mohd. Mizan berkata, pertemuan itu hanyalah sekadar melahirkan solidariti Malaysia terhadap nasib yang menimpa penduduk Gaza dan tidak lebih daripada itu.
Katanya, pertemuan itu hanyalah sekadar melahirkan solidariti Malaysia terhadap nasib menimpa penduduk Gaza dan tidak lebih daripada itu.
Justeru, jelas beliau, Barat tidak perlu melatah dan memandang serong dengan perkembangan tersebut kerana bukan sahaja Malaysia malah seluruh dunia juga menzahirkan simpati kepada Palestin.
“Namun paling penting, rakyat Malaysia perlu menyokong segala usaha dilakukan Perdana Menteri untuk membela Gaza. Mungkin negara bakal terkesan, kita kena perlu bersatu padu menghadapinya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, semua negara harus menghormati pendirian Malaysia berhubung pegangan negara ini dalam isu keamanan sejagat.
Katanya, ia seperti mana Malaysia menghormati pendirian dan dasar negara luar termasuk negara kuasa besar.
“Malaysia perlu terus dominan dan ketegasan Malaysia dalam konflik Palestin-Israel adalah lambang keamanan sejagat yang perlu dipertahankan.
“Ia juga melambangkan dasar luar negara yang sentiasa terbuka dalam memastikan keadilan ekonomi dan sosial dipelihara,” katanya. – UTUSAN










