PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan dilihat masih gagal dalam ‘menambat’ hati pengundi Melayu meskipun menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kemenangan itu boleh dijangka kerana kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.
Namun, menurutnya, kerajaan perlu mencari strategi yang lebih ideal bagi menarik hati pengundi Melayu khususnya golongan muda.
“Tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan PRK ini kerana ia merupakan status quo buat kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara positif di mana terdapat beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dahulunya tewas kepada Perikatan Nasional (PN), contohnya di PDM Kerling dan Ayer Jernih beralih kepada PH.
“Namun, dalam konteks undi Melayu yang dahulunya protes, ada sedikit positif sebanyak satu ke dua peratus, namun peratusan itu masih rendah. Jadi, saya boleh kira UMNO masih mencari rentak bagi memenangi semula hati pengundi Melayu khususnya dan untuk orang muda kedudukannya masih tidak berubah kerana mereka tetap mengundi PN,” katanya ketika dihubungi, semalam.
PRK Kuala Kubu Baharu Sabtu lalu dimenangi calon DAP, Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi.
Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, keputusan undi awal menunjukkan peningkatan yang positif terhadap kerajaan.
“Bagi bukan Melayu pula masih kekal dengan PH termasuk pengundi India. Meskipun di peringkat awal serangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis komuniti India memperlihatkan beberapa isu yang membuatkan mereka agak terpengaruh, namun bila masuk minggu kedua, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming umumkan perumahan kepada lima estet, mereka kembali menaruh harapan kepada kerajaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata, fenomena ‘gelombang hijau’ mungkin dilihat mulai surut apabila kesangsian orang Melayu terhadap kerajaan Madani mula berkurangan.
“Dalam kalangan pengundi biasa pula, PH berjaya mendahului PN di enam daripada lapan kawasan majoriti Melayu sungguhpun tidak begitu besar majoritinya.
“Sungguhpun jumlah undi PN cuma jatuh sebanyak 612, komposisinya mungkin sudah ubah sedikit. Sebahagian kecil undi Melayu mungkin sudah diganti dengan pengundi India yang mengundi bantah atas peminggiran mereka,” ujarnya.
Jelas Chin Huat lagi, satu lagi aspek yang diperhatikan adalah perkembangan kepada kecenderungan awal.
“Sejak 2018, pengundi awal biasanya condong kepada Pas dan PN tetapi kali ini 85 peratus daripada mereka menyokong PH. Ini mungkin kesan kenaikan gaji sebanyak 13 peratus untuk penjawat awam tetapi juga mungkin petunjuk tukarnya arah angin pengundi Melayu,” ujarnya. – UTUSAN











