Penyelia tapak binaan didenda selepas ugut, cederakan teman lelaki bekas isteri - Utusan Malaysia

Penyelia tapak binaan didenda selepas ugut, cederakan teman lelaki bekas isteri

MUHAMMAD Saiful Amiruurashid Md Azhar dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas pertuduhan mengugut serta mencederakan teman lelaki bekas isterinya dalam kejadian di Taman Pedas Indah, Rembau, minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang penyelia tapak pembinaan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Tampin di sni hari ini selepas dia mengaku bersalah mengugut serta mencederakan teman lelaki bekas isterinya dalam kejadian di Taman Pedas Indah, Rembau, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Saiful Amiruurashid Md Azhar, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal bayar bagi pertuduhan pertama yang mana tertuduh telah didapati mengacu dan membaling sebatang cangkul ke arah mangsa yang berusia 26 tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula, Kartini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal bayar terhadap Muhammad Saiful yang didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada lelaki yang sama dengan cara menumbuk di bahagian telinga lelaki tersebut. 

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di hadapan sebuah rumah rumah di Taman Pedas Indah, 8 Mei lalu.

Laporan awal pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami cedera ringan di bahagian belakang telinga kanan.

Terdahulu, pendakwaan diwakili  Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashim manakala tertuduh telah diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd. Isa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×