‘Peninggalan Hang Tuah tidak ternilai dengan wang’

‘Peninggalan Hang Tuah tidak ternilai dengan wang’

AB. RAUF Yusoh (kiri) menunjukkan keris sundang dipercayai milik Hang Tuah yang diserahkan Mohd. Amin Tun Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Artifak Laksamana Hang Tuah di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pernah ditawarkan sehingga jutaan ringgit, namun bagi waris ke-11 Laksamana Hang Tuah dari Kepulauan Bentan, Riau, Indonesia; Mohd. Amin Tun Ahmad, segala artifak berkaitan pahlawan terulung Melaka itu tidak ternilai dengan wang.

Bukan hanya sebilah keris sundang dan sepasang keris hukum yang diserahkan kepada kepemimpinan kerajaan negeri semalam, dia turut mewarisi beberapa lagi artifak antaranya meriam rentaka, gelang dan buku catatan.

Mohd. Amin, 49, berkata, walaupun acap kali dikunjungi oleh pelbagai pihak membuat tawaran bagi memiliki artifak-artifak bersejarah itu, jawapannya bersama keluarga tetap tidak kerana ia adalah warisan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk terus dipelihara.

“Ia peninggalan yang diwarisi turun-temurun, ia amat besar nilainya berbanding wang,” katanya.

Artifak berupa sebilah keris sundang dan sepasang keris hukum dipercayai milik Hang Tuah yang diwarisi turun-temurun oleh waris pahlawan Melaka itu tiba di negeri ini dan diserahkan kepada kepemimpinan kerajaan negeri.

Mohd. Amin menyerahkan kesemua keris itu kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk dipamerkan pada Pameran Hang Tuah yang dijadualkan berlangsung Jun ini.

Ab. Rauf berkata, keris sundang itu dikatakan milik Hang Tuah manakala keris hukum pula merupakan keris yang dititahkan Sultan Mansur Shah kepada Bendahara bagi menjatuhkan hukuman kepada Hang Tuah.

Tambah Mohd. Amin, selain keris terdapat beberapa lagi artifak akan dipamerkan pada pameran itu antaranya gelang, buku catatan dan salasilah keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN