KUANTAN: Seorang peniaga didenda RM300,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan menyeleweng 96,542 minyak diesel pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Eng Ching Huang, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Maimoonah Aid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki kawalan barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu bahan api diesel sebanyak 96,542 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 8 Mac tahun lalu bertempat di Jeti 2, Lorong Industri Tanah Putih Baru, Tanah Putih, Kuantan kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(1) Akta yang sama (Akta (22). – UTUSAN










