PORT DICKSON: Keresahan yang dialami kira-kira 85 orang penternak kupang dan nelayan yang terjejas pendapatan mereka akibat pencemaran biotoksin di perairan Port Dickson di sini mendapat perhatian.
Ia selepas mereka menerima bantuan tunai daripada pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM34,500.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, penyerahan bantuan ini adalah bertujuan membantu golongan nelayan yang terjejas serta meringankan beban sepanjang mereka tidak dapat menuai hasil ternakan kupang.
Menurutnya, LKIM memberi bantuan itu kepada 45 orang nelayan dan penternak dari Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang manakala Parlimen Port Dickson menyumbang bantuan kepada 40 orang yang bukan ahli persatuan nelayan.
“Sebagai rekod nelayan biasanya memperoleh keuntungan lebih pada musim perayaan di mana permintaan tinggi daripada penggemar kupang sekurang-kurangnya seorang penternak dapat menjual 150 hingga 200 kilogram seorang jualan kupang dengan nilai RM1,200 ke RM1,600, ini merupakan kerugian terbesar pernah mereka alami dalam tempoh enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Penternak Kupang Yang Terjejas Akibat Pencemaran Di Perairan Port Dickson di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri dan LKIM akan sentiasa berusaha untuk membantu meringankan beban yang ditanggung golongan nelayan seterusnya memastikan kebajikan nelayan terjaga selain memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.
“Seperti mana yang telah berlaku terhadap pengusaha-pengusaha kupang di Port Dickson, kami telah perhalusi dan sepakati untuk menyalurkan bantuan seperti hari ini. Ini kerana, masalah yang berlaku melibatkan pendapatan para pengusaha yang sentiasa menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan rakyat secara harian,” kata beliau.
Pada 4 April lalu, kupang di perairan Port Dickson disahkan telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap kupang dan air di kawasan tersebut.
Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan, analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya yang dikesan pada kupang tersebut iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Sehubungan itu, pihaknya menyarankan kupang dan dwicengkerang lain seperti kerang di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan dan meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan perairan tersebut.
Sebelum itu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah memberitahu, hasil analisis makmal terhadap sampel ketujuh kupang yang diambil masih mendapati ia melebihi had pengambilan selamat untuk manusia iaitu 800 bahagian per bilion (ppb).
“Bagaimanapun, sampel terbaharu yang kami ambil akan diketahui keputusannya pada 18 Mei ini, jika sampel itu menunjukkan indikator turun bawah 800, kita akan buka (kebenaran pengambilan kupang) pada awal atau pertengahan bulan hadapan,” katanya.-UTUSAN.










