PUTRAJAYA: Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan terutama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak perlu mendesak kerajaan dalam urusan pelantikan bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, perkara itu adalah di bawah bidang tugas Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan dan tanggungjawab Majlis Raja-Raja.
Menurut beliau, ia juga tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas berhubung perkara tersebut.
“Mana-mana pihak yang berkepentingan, termasuk NGO politik seperti Bersih wajar menghormati bidang kuasa, peranan Perdana Menteri serta kuasa Seri Paduka.
“Dengan terus membuat cadangan dan desakan, rakyat umum akan menganggap Bersih mempunyai agenda dan kepentingan politik dalam perkara tersebut,” katanya di sini semalam.
Bersih kelmarin menggesa satu persidangan melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) segera diadakan susulan kekosongan jawatan Pengerusi SPR.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi itu perlu diselesaikan dengan segera kerana Malaysia sedang menuju ke arah penambahbaikan dan sistem tatakelola yang berkesan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, Perkara 114 (2) Perlembagaan menetapkan dalam membuat pelantikan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Agong akan memberi perhatian tentang kepentingan SPR mendapat kepercayaan awam.
Katanya, Perlembagaan menetapkan antara syarat utama ialah seorang Pengerusi atau mana-mana anggota keahlian dalam Panel SPR perlu terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam urusan pentadbiran kerajaan.
“Desakan Bersih menggambarkan pertubuhan itu mempunyai agenda dan sedang berusaha untuk jawatan itu diberikan kepada seorang yang sealiran dengan perjuangan pertubuhan itu,” katanya. – UTUSAN










