Pengeluaran udang galah Negeri Sembilan cecah 50 tan metrik - Utusan Malaysia

Pengeluaran udang galah Negeri Sembilan cecah 50 tan metrik

DAERAH Kuala Pilah khususnya di Seri Menanti menjadi pengeluar tertinggi udang galah di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 51.13 tan metrik udang galah dengan nilai sebanyak RM3.5 juta telah dikeluarkan di Negeri Sembilan pada tahun lalu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, aktiviti ternakan akuakultur yang sinonim itu dengan negeri ini mendapat permintaan tinggi terutama dalam aktiviti sukan memancing.

“Permintaan yang tinggi terhadap sumber ini terutamanya dalam aktiviti sport fishing bukan sahaja menjadi perhatian pengusaha kolam pancing tempatan malah hingga ke Singapura.

“Daerah Kuala Pilah merupakan daerah pengeluar tertinggi sumber perikanan ini dan aktiviti ternakan secara konvensional itu melibatkan seramai 41 orang penternak udang galah yang berdaftar dengan jabatan,” katanya.

Jalaluddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata demikian sewaktu penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja bagi Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Beliau dalam pada itu, berkata, selain memenuhi permintaan tempatan, benih udang galah Negeri Sembilan juga telah mula mendapat permintaan di luar negara terutamanya Taiwan dan Bangladesh.

 “Untuk rekod, pada tahun 2023 sebanyak 132,000 ekor benih udang galah telah di eksport ke Taiwan dan Bangladesh dengan nilai RM18,195,” katanya lagi.

Sementara itu, ujar Jalaluddin, dalam usaha memperkasakan industri udang galah di Negeri Sembilan, pihak Jabatan Perikanan akan turus mempertingkatkan pembangunan modal insan dalam kalangan penternak.

“Ia termasuklah melalui galakkan menyertai kursus-kursus khas seperti pengurusan ternakan bagi meningkatkan ilmu sedia dengan lebih praktikal.

“Jabatan turut memberi pendedahan terhadap pengaplikasian Industri 4.0 dalam pengurusan ternakan seperti penggunaan kincir air, teknologi solar, teknologi biofloc dan aplikasi Internet of Thing (IOT) dalam pengurusan kolam. 

“Melalui teknologi ini, mesin akan digunakan bagi mengoperasikan aktiviti secara bebas atau bekerjasama dengan manusia (data dan analisa data ditentukan manusia). Penggunaan teknologi ini memerlukan kos permulaan yang tinggi tetapi ia memberi kaedah pengurusan sistem ternakan yang lebih cekap dan hasil yang optimum,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN