Penduduk teruja makan ikan goreng RM10,000 seekor - Utusan Malaysia

Penduduk teruja makan ikan goreng RM10,000 seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Penduduk di Kampung Tengah di Renggam dekat sini boleh dianggap paling bertuah selepas berpeluang menikmati ikan goreng yang dianggarkan RM10,000 seekor.

Keadaan ini berlaku selepas ratusan ekor ikan kelisa terlepas dari sebuah kolam takungan yang pecah dan kejadian itu menyebabkan penduduk menyerbu tali air berhampiran untuk menangkap ikan tersebut.

Penduduk Kampung Melayu Renggam, A. Sani Palal, 49, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang itu menjadikan kawasan di Kampung Tengah seperti pesta apabila diserbu penduduk dan warga asing yang tinggal berdekatan untuk menangkap ikan.

Katanya, berat bagi setiap ekor ikan antara dua hingga lima kilogram itu terlepas dari kolam yang terletak berhampiran kampung dan ia kali pertama berlaku.

“Bukan senang nak rasa ikan goreng berharga RM10,000, rasanya juga enak tapi jangan sampai termakan cip yang diletakkan dalam badan ikan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, tular video dalam media sosial yang menunjukkan orang ramai menangkap ikan kelisa dan ada yang sempat menggoreng ikan berkenaan sebagai juadah.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Fateha, 35, berkata, tidak semua ikan yang terlepas itu dapat ditangkap.

“Bukan senang nak tangkap dan jika dapat, itu adalah rezeki,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN