NARATHIWAT (THAILAND): Penduduk di sini mengakui sudah lali dengan insiden letupan bom di daerah itu dan menyifatkan kejadian sedemikian sebagai perkara biasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk mahu dikenali sebagai Dir, 45, berkata, situasi itu dapat dilihat apabila masyarakat di wilayah tersebut meneruskan aktiviti seperti biasa walaupun baru berlaku letupan bom motosikal di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang.
“Hanya jalan berhampiran lokasi kejadian sahaja yang ditutup, urusan lain berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa.
“Ini letupan pertama di kawasan bandar untuk tahun 2024. Kalau kawasan kampung sudah acap kali berlaku.
“Lokasi letupan itu adalah kawasan tarikan pelancongan yang terkenal di sini,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Dir memberitahu, semasa kejadian dia sedang berehat sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.
Katanya, disebabkan jarak yang terlalu dekat, rumahnya turut bergegar sebaik sahaja kejadian berlaku.
Kejadian pukul 9.35 malam itu mengakibatkan lapan individu mengalami kecederaan termasuk dua rakyat Malaysia dengan kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu berusia antara 20 hingga 30-an.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka yang terlibat berasal dari Kelantan. – UTUSAN










