PETALING JAYA: Pendapatan isi rumah RM8,000 dengan tiga anak masih bersekolah adalah pendapatan minimum sebulan untuk sesebuah keluarga menjalani kehidupan sederhana di bandar-bandar besar di negara ini.
Pendapatan itu adalah kadar ideal bagi lima beranak berdasarkan kadar penggunaan isi rumah tahun 2022 melibatkan bandar-bandar seperti di Putrajaya yang merekodkan purata tertinggi iaitu RM8,897 manakala Kuala Lumpur mencatatkan RM7,823, Selangor (RM6,770); Melaka (RM5,707); Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, jika sebelum ini pendapatan seisi rumah RM8,000 dan ke atas dikategorikan dalam kumpulan T20 namun ketika ini tidak lagi kerana lonjakan kos sara hidup yang mengecilkan kebolehgunaan pendapatan setiap isi rumah.
Sebaliknya, menurut beliau, kategori T20 kini membabitkan isi rumah berpendapatan RM11,000 dan ke atas.
“Satu keluarga terdiri daripada ibu bapa dan tiga anak yang mahu menjalani kehidupan di bandar memerlukan pendapatan serendah RM8,000 sebulan untuk boleh menampung keperluan hidup.
“Jumlah tersebut ideal untuk keluarga itu menampung kos sara hidup di bandar-bandar masa kini namun tidak boleh bermewah-mewah dan jika bernasib baik dapat membuat sedikit simpanan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengikut laporan, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata nasional ketika ini meningkat daripada RM4,609 pada tahun 2019 kepada RM5,150 pada 2022 mengakibatkan golongan berkeluarga tertekan untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar-bandar.
Selain Putrajaya, lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional iaitu Kuala Lumpur (RM7,823); Selangor (RM6,770); Melaka (RM5,707); Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322).
Berdasarkan tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2022, terdapat empat indikasi utama menyumbang kepada perbelanjaan penggunaan isi rumah iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain membabitkan 23.2 peratus; makanan dan minuman (16.3 peratus); restoran dan hotel (16.1 peratus) dan pengangkutan (11.3 peratus).
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, kerajaan perlu meneliti semula definisi B40, M40 dan T20 berdasarkan kos sara hidup terkini kerana ukuran lama sudah tidak lagi terpakai khususnya selepas pandemik Covid-19.
“Definisi tersebut tidak boleh diukur daripada pendapatan bulanan semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada beberapa faktor lain seperti berapa ramai ahli keluarga, status pengajian, kesihatan, tempat tinggal dan beberapa perkara lain,” ujarnya.









