KUCHING: Jabatan Imigresen Sarawak giat melaksanakan ‘Op Sapu’ pemburuan dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini, dengan menahan tujuh lelaki warga asing di lokasi berasingan di Miri dan Kuching baru-baru ini.
Jurucakap Jabatan Imigresen Sarawak berkata kesalahan yang didapati daripada penahanan tersebut terdiri daripada tinggal lebih masa dan tidak mempunyai sebarang permit sah untuk tinggal di Malaysia.
“Bertindak atas aduan dan risikan yang dikumpul, pasukan kita telah menyerbu penempatan terpencil di sebuah penempatan asing di Bekenu dan memeriksa tujuh individu untuk dokumentasi mereka.
“Daripada tujuh yang diperiksa, lima orang telah ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai permit sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, katanya di Kuching, pasukan penguatkuasa jabatan itu turut menjalankan beberapa siri operasi di sekitar bandar raya itu semalam, selepas menerima aduan berhubung kehadiran warga asing bekerja tanpa permit sah.
“Operasi itu menyasarkan beberapa lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas seperti kedai tekstil, kedai runcit, kedai barangan terpakai, salun kecantikan dan kawasan rawak di tempat tarikan pelancong.
“Seramai 33 individu telah diperiksa dalam operasi itu dan daripada bilangan ini dua ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya lagi.
Justeru itu, Jabatan Imigresen Sarawak menegaskan pihaknya akan mempergiatkan usaha mengesan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen, terutama di kawasan panas yang dikenal pasti.
“Warga asing yang berhasrat untuk bekerja di Sarawak dinasihatkan untuk memohon permit kerja yang sah mengikut peruntukan undang-undang Malaysia.
“Orang ramai juga digesa agar melaporkan sebarang maklumat berhubung kehadiran PATI di kawasan mereka melalui saluran dalam talian atau terus ke Pejabat Penguatkuasa Imigresen berhampiran,” ujarnya.
Laporan boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected], melalui laman web di https://imi.spab.gov.my atau menghubungi talian hotline di 03-88801347.










