ISKANDAR PUTERI: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memuktamadkan pembinaan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat yang dicadangkan di pusat bandar Johor Bahru, Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, cadangan pembinaan ART Bertingkat itu melibatkan pembinaan 32 stesen di tiga laluan dengan jarak lebih 50 kilometer dengan anggaran kos hampir RM7 bilion.
Beliau berkata, selepas pelaksanaan Transit Aliran Bas (BRT) dibatalkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kajian baharu dibuat melibatkan sama ada sistem ART Bertingkat atau Transit Aliran Ringan (LRT).
“Setelah kajian dibuat, kerajaan negeri bersetuju mengangkat projek ART Bertingkat dan perkara ini telah dibawa ke mesyuarat kabinet. Jadi MOT kini sedang melaksanakan kajian mereka sebelum memberi kata putus hala tuju projek itu Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Task Force Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor di Hotel Forest City Golf, di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fazli, pihaknya berharap MOT akan mempertimbangkan keputusan dibuat kerajaan negeri.
“Johor memilih sistem ART bertingkat kerana faktor utama ia boleh siap lebih pantas berbanding LRT. Ini kerana kita mahu ia siap sepenuhnya sebelum Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027,” ujarnya. – UTUSAN










