JOHOR BAHRU: Seorang pembantu penyelia kilang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan mengakibatkan kecederaan parah kepada atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, Sabtu lalu.
Walau bagaimanapun, R. Dhinesh, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Dhinesh yang memandu sebuah kereta Toyota Vios dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada Siti Nurul Masyitah di Kilometer 3.5, Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini pada pukul 4.19 petang, 11 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 selain hilang kelayakan memandu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor S. Vikineswary, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan melaporkan diri di Balai Polis Skudai setiap bulan.
Nur Fatin turut menetapkan 24 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Siti Nurul Masyitah, penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dirempuh dan diseret sejauh 600 meter oleh sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki mabuk di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, Johor Bahru.
Kemalangan itu menyebabkan anak kelima daripada lapan beradik itu mengalami kecederaan patah tulang pelvik, bahu kanan dan luka bahagian belakang serta kaki dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Columbia Asia, Iskandar Puteri. – UTUSAN










