Pegawai kastam didakwa terima rasuah hampir RM15,000 - Utusan Malaysia

Pegawai kastam didakwa terima rasuah hampir RM15,000

WAN AZMANY Wan Ali (hadapan) mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan menerima rasuah hampir RM15,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 38 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,950 antara 2017 hingga 2021.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Wan Azmany Wan Ali@Wan Abdul Aziz, 46, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Azmany yang bertugas sebagai Pembantu Kastam Kanan Gred WK22 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati memperoleh wang antara RM100 hingga RM3,000 menerusi akaun bank miliknya daripada pemilik ejen perkhidmatan pengangkutan kargo di KLIA sebagai balasan melancarkan urusan tersebut di sebuah cawangan bank di Taman Kebun Teh, di sini antara 27 Mac 2017 hingga 2 September 2021.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jamaludin Abdul Jalil.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan, namun peguam bela memohon jumlah jaminan yang minimum kepada anak guamnya yang berkemungkinan berdepan tindakan gantung tugas selain mempunyai masalah kesihatan, iaitu buah pinggang kronik yang memerlukan menjalani dialisis selama hampir lapan jam sehari.

Tertuduh juga mempunyai lima orang anak berusia sembilan hingga 20 tahun yang masih belajar di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi selain menanggung dua ibu tiri di Kelantan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin  sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN