SEREMBAN: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mahu menjadikan Port Dickson sebagai hab keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serantau dalam bidang ekopelancongan menerusi pembukaan pejabat dan pusat latihan baharunya.
Naib Pengerusi NIOSH, G. Manivanan berkata, lokasi Port Dickson yang strategik menjadikan bandar pesisir pantai tersebut sesuai untuk tujuan itu.
“NIOSH telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk membuka pusat latihan KKP NIOSH di Port Dickson.
“Kami bukan sahaja melihat potensi di dalam negara tetapi ingin menjadikannya hab latihan KKP ekopelancongan terkemuka di rantau ASEAN dan peringkat global,” katanya.
Manivanan berkata, pihaknya telah memaklumkan hasrat NIOSH untuk membuka pusat latihan KKP tersebut kepada Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini turut mengumumkan cadangan pelaksanaan 59 projek bagi memacu pembangunan pesisiran pantai Port Dickson agar menjadi destinasi pelancongan antarabangsa.
“Bagi menyokong wawasan kerajaan negeri, NIOSH sebagai agensi penyedia latihan KKP di bawah Kementerian Sumber Manusia telah membangunkan modul latihan untuk sektor ekopelancongan yang bersesuaian untuk mereka yang terlibat dalam bidang perhotelan, agensi pelancongan, penyelamat, sukan air dan sukan lasak.
“Pada masa yang sama, anak syarikat, NIOSH Certification Sdn. Bhd. turut menawarkan Pensijilan Sistem Pengurusan Kembara Pelancongan (ATSMS) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“NIOSH akan turut meningkatkan kerjasama dengan rakan strategiknya di beberapa negara bagi memastikan kursus dan sijil KKP ekopelancongan yang ditawarkannya diterima bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” kata beliau.-UTUSAN.










