SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menyelaraskan gaji penjawat awam di negeri ini mengikut kenaikan gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan seperti pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apabila kerajaan Persekutuan menaikkan gaji kakitangan mereka sudah tentu di peringkat negeri ia harus dilaksanakan secara bersama.
“Ia melibatkan kakitangan awam, kena selaraskan, bukan umum setuju atau tidak, harus lihat bagaimana kerajaan negeri harus melaksanakan apa yang dikatakan oleh kerajaan Persekutuan, harus dilaksanakan bersama, ini akan melibatkan gaji dan gred yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Kita (kerajaan negeri) juga menunggu apa juga keputusan oleh kerajaan Persekutuan semalam dan apa juga yang akan berlaku, bukan setakat 15 peratus itu, ia akan libatkan banyak kenaikan contohnya mereka yang dilantik sebagai kakitangan kontrak, ia akan libatkan (caruman) KWSP dan lain-lain juga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, dinyatakan oleh Perdana Menteri, pendapatan menyeluruh penjawat awam selepas ini mestilah lebih daripada jumlah RM2,000 dan perkara itu juga mesti diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.
“Sekarang tugas Setiausaha Kerajaan Negeri untuk lihat apa yang diumumkan semalam dan perkara-perkara tambahan lain supaya dapat kita kaji dan bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya ia selaras dengan Persekutuan.
“Memang akan ada implikasi kewangan, tanggungjawab sekarang untuk pastikan kita cukup untuk bayar gaji penjawat awam kita, pakej kita akan ikut Persekutuan, tidak lebih tidak kurang,” jelasnya.
Semalam, Anwar mengumumkan berita baik untuk 1.6 juta penjawat awam apabila memberitahu kenaikan gaji kepada golongan tersebut lebih 13 peratus berkuat kuasa 1 Disember ini.-UTUSAN.










