KANGAR: Buah mempelam harumanis Perlis mempunyai keistimewaan tersendiri dan tidak mampu ditandingi mana-mana negeri yang cuba mengusahakan tanaman tersebut.
Malah, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli secara berseloroh meminta agar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak berangan untuk menyaingi harumanis Perlis pada masa hadapan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Shukri berkata, Perlis sudah jauh terkedepan dalam aspek tanaman harumanis di Malaysia walaupun beberapa negeri cuba menanam buah tersebut secara komersial.
“Harumanis Perlis mempunyai rasa dan bau tersendiri malah faktor cuaca serta tanah di negeri ini membuatkan buah ini tidak dapat ditandingi walau ditanam di negeri-negeri lain.
“Saya ingat setakat ini, mana-mana pihak yang bawa balik benih mempelam harumanis dari Perlis tak akan dapat menyamai rasa dan keharuman buah yang ditanam di negeri ini,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan, harumanis Kedah yang dijenamakan semula sebagai Harumanis D’Aman semakin popular dan mendapat perhatian diyakini mampu mengatasi harumanis Perlis pada masa akan datang.
PASARAN
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, harumanis Kedah berpeluang mendominasi pasaran mangga dalam masa terdekat di Malaysia meskipun baru dilancarkan tahun lalu selain harumanis Kedah dilihat memiliki keluasan saiz dan tanaman melebihi negeri lain.
“Hai, 80 tiang tinggal (jauh meninggalkan) harumanis Perlis dari segi keluasan saiz dan tanaman. D’Aman ini luas tanamannya dan banyak produk dia, harumanis ini asalnya dari Kedah cuma dikomersialkan di negeri lain,” katanya
Sebagai rekod, nama harumanis Perlis merupakan hak eksklusif kerajaan negeri Perlis setelah pendaftaran jenama dibawah Perbadanan Harta Intelek (myIPO) diluluskan pada tahun 2011.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, berdasarkan keluasan tanaman mempelam harumanis, Perlis sememangnya lebih jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri lain dalam mengusahakan buah itu secara komersial.
“Saya rasa sebenarnya kita yang 80 tiang ke hadapan berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad pula berkata, kapasiti tanaman mempelam harumanis Perlis adalah seluas kira-kira 1,700 hektar berbanding Kedah yang hanya sekitar 100 hektar.
Katanya, mempelam harumanis Perlis juga mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membuatkan buah tersebut amat ikonik dengan negeri ini.
“Sebenarnya, kita (Perlis) yang tinggai depa (Kedah) sejauh 80 tiang, selamat mengejarlah untuk mencapai hasrat itu,” katanya. – UTUSAN










