‘Melaka Nightlife’ tawar tiket RM10 ke Zoo Melaka

‘Melaka Nightlife’ tawar tiket RM10 ke Zoo Melaka

SEORANG pengunjung sedang mengambil gambar harimau putih di Zoo Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Inisiatif ‘Melaka Nightlife’ atau Melaka Bila Larut Malam yang bermula 1 Jun ini dari pukul 11 malam sehingga 2 pagi turut menawarkan kemasukan ke Zoo Melaka dengan tiket berharga RM10 sahaja.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, selain pakej RM10 bagi kemasukan ke Menara Taming Sari, Melaka River Cruise (MRC) dan muzium-muzium seperti diumumkan sebelum ini, Zoo Melaka juga dibuka dari pukul 10 malam sehingga 12 tengah malam.

Ujarnya, Muzium Penjara turut menawarkan tiket masuk serendah RM3 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak warganegara.

“Setiap pembelian empat tiket masuk secara berkumpulan akan diberi satu tiket percuma, di mana empat tiket tersebut juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dan kupon diskaun Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Pengunjung juga layak menerima kupon cabutan bertuah dengan membeli cenderamata khas TMM 2024 yang bernilai serendah RM10. Oleh itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk sama-sama menyokong usaha ini dan bawalah keluarga untuk
menikmati peluang pelancongan di Melaka.

“Penjawat awam diminta untuk menguar-uarkan tawaran hebat kerajaan negeri kepada sahabat handai, ahli keluarga serta masyarakat sekeliling,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri akan melancarkan pakej Melaka Nightlife yang menawarkan harga RM10 kepada setiap pengunjung untuk melawat beberapa produk pelancongan bermula 1 Jun ini, sempena TMM 2024.

Dengan harga RM10, pengunjung boleh menaiki Bot MRC, Menara Taming Sari dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN