Masariah dinobat Tokoh Guru Kebangsaan 2024 - Utusan Malaysia

Masariah dinobat Tokoh Guru Kebangsaan 2024

AHMAD ZAHID Hamidi (empat dari kiri) menyampaikan anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024 kepada Masariah Mispari pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Cikgu bukan cita-cita saya, tetapi akhirnya ia menjadi cinta saya,” kata penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024, Masariah Mispari, 61.

Masariah juga berkata, memegang jawatan sebagai seorang guru tidak harus dianggap sebagai satu bebanan.

Berpegang kepada prinsip bersih, cekap dan amanah, dia beranggapan anugerah yang diterimanya itu adalah kerana menganggap kerjaya itu sebagai ‘buah hatinya’.

“Pada awalnya saya anggap kerjaya guru ini seperti satu perniagaan. Ketika itu saya bekerja kuat tetapi saya tidak terima apa-apa anugerah. Mungkin selepas saya jatuh cinta pada kerjaya ini, akhirnya banyak dapat anugerah sebagai cikgu.

“Selepas lima tahun saya mengajar, saya telah mendapat pengiktirafan sebagai guru Sejarah terbaik peringkat kebangsaan pada 1991 dan ia menjadi satu titik tolak buat saya untuk tidak lagi toleh ke belakang.

“Selepas itu setiap tahun saya cuba buat pelbagai inovasi dan akhirnya satu persatu anugerah yang saya terima. Pada saya, apabila kita bekerja kuat, kita akan mendapat kejayaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.

Bercerita lanjut Masariah memilih untuk bersara awal dari kerjaya seorang guru Sejarah di Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya pada 2019 selepas disahkan menghidap kanser payudara.

Selepas berjaya melawan penyakit berkenaan, beliau mengambil keputusan untuk kembali aktif dan kini merupakan Ketua Panel di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Dia dalam pada itu menzahirkan rasa syukur atas anugerah yang diterimanya itu yang dianggap sebagai pengiktirafan bersama buat guru cemerlang lain.

“Bersyukur alhamdulillah. Mungkin bukan satu idaman sebab anugerah ini tersangat besar tapi gembira bila dapat mewakili semua guru dan kejayaan ini adalah merupakan kejayaan buat semua guru-guru cemerlang seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2024, Datuk Sulaiman Wak, 65, berkata, anugerah yang diterima adalah berkat dorongan dan sokongan rakan seperjuangannya.

“Ibarat seperti segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi, begitulah pentingnya sokongan dan dorongan serta kerjasama orang sekeliling kita dalam mencapai kejayaan.

“Kena bekerjasama dalam segala hal. Kita tidak akan betul-betul berjaya kalau kita bergerak seorang diri tetapi kalau bergerak beramai kita boleh meraih kejayaan,” katanya.

Sulaiman merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Sektor Pembangunan Profesionalisme yang mempunyai pengalaman selama kira-kira 36 tahun dalam bidang pendidikan sebelum berpencen pada lima tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN