PETALING JAYA: Seorang guru pusat jagaan kanak-kanak autistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak lelaki, minggu lalu.
Tertuduh, M. Thinesh, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak istimewa berusia enam tahun pada pukul 11.50 pagi, 16 Julai lalu di sebuah pusat jagaan di sini.
Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga selesai kes.
Peguam bela, Y. Sharvin Nair yang mewakili Thinesh tidak membantah terhadap syarat tambahan dan kadar jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Minggu lalu, media melaporkan seorang guru yang disyaki menendang dan memukul seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan di Kelana Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan reman tujuh hari.
Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan pada tangannya. – UTUSAN










