KERJAYA guru telah dilihat sebagai kerjaya profesional kerana sebelum seseorang itu dilantik sebagai guru, mereka perlu melalui proses pendidikan guru yang terdiri daripada empat elemen utama, iaitu pengetahuan bidang ilmu, kemahiran pedagogi dan amalan kemahiran insaniah yang merangkumi aspek komunikasi, personal, interpersonal, penyelesaian masalah, kepimpinan, etika dan profesionalisme.
Selepas dilantik, seseorang guru itu akan melaksanakan tugas melalui proses pengajaran dan pembelajaran dengan perancangan yang sistematik dari aspek pendekatan, strategi, kaedah dan teknik bagi menyampaikan kandungan kurikulum. Proses tersebut akan diikuti dengan pentaksiran dan penilaian yang akan menjelmakan pula strategi pemulihan dan pengayaan.
Senario yang digambarkan ini mewajarkan seseorang guru itu perlu dihormati kerana tugas guru memerlukan sebuah pengorbanan yang besar bagi melaksanakan proses yang panjang dan terancang dalam membangunkan potensi seseorang murid. Proses yang sistematik itu juga membuktikan bahawa kerjaya guru sebagai kerjaya profesional.
Untuk memperkukuh kualiti profesional keguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina evolusi pendidikan guru, iaitu daripada Sijil Perguruan Asas kepada Diploma Perguruan Malaysia (DPM) dan diangkat martabatnya lagi kepada Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP). Dalam rangka reformasi pendidikan pula, KPM telah menawarkan Program Ijazah Sarjana Perguruan (ISP) di enam buah kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan ISP itu mula beroperasi pada pertengahan Ogos 2024.
Oleh itu, guru sentiasa mendalami dan memperbaharui ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mampu merancang dan melaksanakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Ya, bukan tugas profesional guru untuk menjanjikan jumlah “A” kepada murid-murid. Sebagai seorang guru yang profesional, guru akan mengeksploitasi segala ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu usaha ke arah membangunkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Falsafah ini selari dengan fitrah kejadian manusia, iaitu sebagai “sebaik-baik kejadian”. Sains turut membuktikan bahawa apabila berlaku persenyawaan, lantas berjuta-juta sperma berenang untuk menjadi insan tetapi hanya satu sahaja yang ditakdirkan lahir di dunia dan yang satu itulah “sebaik-baik kejadian” dan menjadi khalifah di muka bumi ini.
Sehubungan ini, perlu dimengertikan dengan tuntas akan tugas guru dalam membangunkan potensi murid. Tidak mungkin guru mengabaikan muridnya demi matlamat mengejar jumlah A.
Sebaliknya, guru berusaha sedaya upaya membangunkan dan membesarkan potensi setiap murid dari aspek pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Aspek ini menjadi aspirasi murid yang hendak dicapai.
Bagi memperkukuh matlamat ini, reformasi pendidikan yang diterajui oleh Fadhlina Sidek telah menegaskan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu berupaya membangunkan karamah insaniah, iaitu membangunkan adab, akhlak dan integriti, di samping memperkasakan pendidikan manusiawi.
Elemen yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut merupakan elemen yang dapat membina karakter murid bagi mendepani cabaran hidup masa hadapan dalam dunia yang berubah dengan pantas dan dipengaruhi oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, Fadhlina juga menegaskan bahawa pendidikan itu adalah untuk “otak dan watak”.
Proses pengajaran dan pembelajaran bukan sekadar untuk melahirkan murid yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi juga berhasrat melahirkan murid yang memiliki perwatakan yang harmonis seperti berkemahiran pelbagai, berfikiran cerdas, kreatif dan bijaksana, memiliki keseimbangan psikologi dan emosi, kukuh pegangan agama dan tinggi semangat patriotiknya.
Elemen ini sebagai teras pembinaan karakter generasi akan datang dan turut memperkukuh usaha guru dalam membangunkan murid sebagai manusia yang memiliki nilai-nilai manusiawi. Manusia yang padu dengan nilai manusiawi itu memiliki akal budi, hati budi, budi bicara, budi pekerti dan budi bahasa. Ciri karakter manusia demikian telah diungkapkan oleh falsafah nenek moyang, iaitu:
Di sana padi, di sini padi;
Itulah dia sawah dan bendang,
Di sana budi, di sini budi;
Baru sempurna menjadi orang.
Guru tidak membina bangunan pencakar langit. Guru juga tidak membina jambatan yang menghubungkan antara kawasan. Bagaimanapun, untuk membina bangunan dan jambatan itu, perlunya tenaga manusia.
Di sini, guru berbangga kerana guru mampu menyediakan tenaga manusia berkualiti menerusi pendidikan, iaitu guru membangunkan murid dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan berasaskan sains dan teknologi, kemahiran berfikiran aras tinggi, berfikiran kreatif dan kritis, di samping menyuburkan nilai-nilai seperti patriotik, bekerjasama, kesungguhan dan kecekalan, rasional, berintegriti, jujur, amanah dan lain-lain.
Menerusi kualiti diri murid yang tinggi dan dibangunkan oleh guru, murid itu mampu menjadi pekerja yang cemerlang. Mereka melaksanakan projek pembangunan dengan penuh berintegriti dan jujur.
Lantaran itu, pembangunan negara dijayakan dengan sebaik mungkin dan berkualiti, tidak tergendala dan tiada pula berlaku ketirisan. Guru juga berbangga kerana generasi berkualiti yang dibina untuk negara yang dapat membina bangunan pencakar langit yang tidak runtuh selagi ada bulan dan matahari dan membina jambatan yang menjadi asbab tersemainya kasih dan sayang silaturahim antara kelompok masyarakat yang terpisah oleh sungai dan lautan.
Oleh itu, guru yang merupakan insan terpilih sebagai arkitek generasi masa hadapan mesti berbangga dengan profesion keguruan. Amanah mendidik dan membimbing putera dan puteri negara adalah tugas besar dan menjadi keutamaan berbanding perkara-perkara sampingan yang ada. Malah, amanah besar ini telah menjadi janji yang diungkapkan acap kali pada tanggal 16 Mei menerusi lagu keramat Kami Guru Malaysia, iaitu :
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Usaha mendidik dan membimbing generasi pewaris tiada berpenghujung. Menerusi pasukan petugas khas (task force) intervensi kurikulum, penyelarasan prasekolah, Pendidikan STEM, Digital Pendidikan, MBMMBI dan TVET, KPM yakin akan lebih berupaya menghasilkan inisiatif strategik bagi memastikan reformasi pendidikan berjalan lancar dan menyokong amanah dan janji yang ada. – UTUSAN
DR. Mohd Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).










