RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas buah mangga diimport dari Thailand selepas dikesan mengandungi serangga perosak pada minggu lalu.
Rampasan bernilai RM26,000 itu dilakukan hasil pemeriksaan yang dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Pengarah Maqis Kelantan, Syed Fuad Syed Putra berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati, buah-buah yang diimport itu mempunyai serangga perosak yang disyaki dari spesies Mango pulp weevil (Sternochetus mangiferae).
“Rampasan itu bertujuan menghalang dan mengawal kemasukan serangga perosak yang boleh melumpuhkan industri pertanian negara terutamanya industri tanaman mangga tempatan.
“Sehubungan itu, Maqis Kelantan telah menahan kemasukan konsainan buah mangga itu daripada masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Syed Fuad memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai serangga perosak.
Katannya, menjadi keutamaan Maqis untuk sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.
“Langkah itu bagi menjamin setiap keluaran pertanian terbabit tiada perosak, penyakit, bahan cemar selain perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya.










