Lega akhirnya berpeluang ke Tanah Suci

Lega akhirnya berpeluang ke Tanah Suci

Antara jemaah yang akan menaiki penerbangan dari Alor Setar ke KLIA sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah untuk menunaikan ibadah haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah empat kali terpaksa menangguhkan hasrat menunaikan Rukun Islam kelima, Razali Hussin akhirnya lega apabila berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Razali, 70, bersama isterinya, Rokiah Bakar, 60, antara 142 bakal jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama KT001K dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini.

“Alhamdulillah hanya lafaz syukur yang saya dan isteri mampu ungkapkan apabila impian kami menunaikan fardu haji akhirnya tercapai pada tahun ini.

“Sudah lama sebenarnya kami menunggu detik ini dan empat kali juga kami telah tolak panggilan suci ini disebabkan faktor anak-anak yang masih bersekolah dan hutang piutang yang banyak ketika itu.

“Kini semuanya sudah lapang dan kami harap dapat beribadah sebanyak mungkin sepanjang berada di Makkah dan Madinah serta dikurniakan kesihatan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui semalam.

Penerbangan pertama dari Kedah berlepas pada pukul 7.55 malam tadi ke Kuala Lumpur sebelum menaiki penerbangan seterusnya KT001 ke Madinah pada pukul 12.05 tengah malam.

Sementara itu, Eshah Ahmad, 47, menyatakan hasrat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang bergolak akibat peperangan di hadapan Kaabah nanti.

“Hati saya terusik melihat suasana yang berlaku di Palestin, jadi peluang ini saya mahu gunakan sebaik-baiknya untuk memohon doa dan pertolongan dari Allah SWT,” katanya.

Eshah yang berasal dari Guar Chempedak, Yan memberitahu, dia menunggu selama 15 tahun untuk mendapat giliran menunaikan haji setelah mendaftar pada 2009.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Haji Stesen Alor Setar, Mohd. Hanifah Kamarudin berkata, seramai 1,562 bakal jemaah akan berlepas dari Alor Setar bermula hari ini hingga 17 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN