MELAKA: Beroperasi sudah lebih setahun di premis yang dipasang kamera litar tertutup (CCTV) khusus untuk memantau kehadiran pihak berkuasa, satu sindiket diesel haram di Kawasan Perindustrian Krubong di sini akhirnya ditumpaskan selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), petang semalam.
Dalam operasi pada pukul 7 petang itu, pasukan serbuan menahan sebuah lori tangki sarat dengan muatan diesel berjumlah 27,000 liter yang sedang dalam proses membawa keluar bahan api bersubsidi itu dari negeri ini.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, diesel bersubsidi itu dibeli dari stesen minyak di sekitar negeri ini sebelum dikumpulkan di stor penyimpanan yang mempunyai dua tangki berkapasiti keseluruhan 35,000 liter.
“Bila kita masuk lori tangki baru hendak bergerak, kita berjaya menahan tiga suspek terdiri daripada dua warga asing dan seorang warga tempatan yang bertindak sebagai pemandu lori.
“Diesel bersubsidi yang berjaya dirampas hari ini (semalam)bernilai RM75,000 manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan peralatan lain yang disita adalah RM256,000.
“Ini merupakan kejayaan dalam mematahkan salah satu cara untuk mencuri diesel di Melaka. Kami syaki sindiket ini menjual atau mengedar diesel ini di luar Melaka,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Tambah Norena, KPDN percaya stor penyimpanan diesel berkenaan telah beroperasi dalam jangka masa panjang berdasarkan peralatan yang terdapat di situ sudah usang, selain diawasi oleh empat CCTV.
Ujarnya, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 30-an dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tempat ini memang agak lama beroperasi ia diawasi oleh CCTV. Di mana ada empat CCTV yang mana tiga menghadap ke luar. Tempat ini memang diawasi ketat oleh sindiket,” jelasnya.










