Koperal, sarjan polis direman tujuh hari

Koperal, sarjan polis direman tujuh hari

KEDUA-DUA tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal direman tujuh hari bemula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai menerima suapan berjumlah RM2,500 daripada seorang kontraktor, semalam.

Perintah reman sehingga 20 Mei ini dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek lelaki berusia 37 dan 58 tahun itu.

Kedua-dua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.10 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.

Mereka ditahan pada pukul 11.30 malam semalam oleh pegawai SPRM di Jasin bagi membantu siasatan.

Difahamkan, mereka menerima suapan tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pekerja kontraktor berkenaan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sabit kesalahan, mereka boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×