ISKANDAR PUTERI: Tunku Mahkota Ismail mahu isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) perlu diselesaikan tanpa kompromi.
Titah baginda, Tambak Johor di Johor Bahru dan LinKedua di Gelang Patah, di sini merupakan aset penting untuk pembangunan ekonomi negeri.
“Baru-baru kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menaik taraf kualiti perkhidmatan di CIQ BSI dan juga KSAB, namun masih terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Saya ingin melihat isu ini diselesaikan tanpa sebarang kompromi,” titah baginda semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini semalam.
Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pelaksanaan projek ekonomi berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di negeri ini.
Baginda bertitah, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu akan meningkatkan lagi potensi perkembangan ekonomi negeri ini dalam usaha menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Pelaksanaan JS-SEZ dan juga SFZ ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan Johor dan Singapura pada masa depan, sekaligus meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan penduduknya,” titah baginda.
Selain itu, Tunku Mahkota Ismail mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggalas tanggungjawab membasmi golongan miskin tegar di seluruh Johor menjelang 2026.
“Saya titah agar tiada seorang pun ketua isi rumah (KIR) rakyat Johor yang tergolong dalam golongan miskin tegar selepas tamat tahun 2025.
“Semua pihak mempunyai tempoh 19 bulan untuk mencari, mengenalpasti dan memberikan bantuan sewajarnya menerusi program kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyantuni mereka,” titahnya ketika mnyempurnakan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari inii.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua penduduk negeri ini mendapat akses kepada keperluan asas melibatkan bantuan kerajaan, infrastruktur lengkap, pendidikan inklusif dan juga penjagaan kesihatan berkualiti.










