BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes pembunuhan seorang ibu tunggal, Mila Sharmilah Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar
Walau bagaimanapun, Majistret Suhaila Shafi’uddin tidak menetapkan tarikh bila kes berkenaan akan disebut di Mahkamah Tinggi Muar.
Terdahulu tertuduh, Muhammad Haikal Mahfuz, 24, tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
Turut kelihatan ahli keluarga termasuk bapanya yang menunggu seawal pukul 8 pagi di pekarangan mahkamah tersebut.
Muhammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmilah Samsusah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah antara pukul 11 malam hingga 5 pagi, 14 hingga 15 Disember 2023.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd. Sharip manakala Muhammad Haikal diwakili peguam bela, Syahril Anuar Harun.
Syahril ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan pihaknya masih menunggu tarikh yang akan ditetap oleh pihak Mahkamah Tinggi Muar untuk sebutan kes berkenaan. – UTUSAN










