SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau organisasi yang didapati telah melakukan kesalahan mencemarkan sumber air mentah di Negeri Sembilan susulan kejadian pencemaran air seakan minyak yang memasuki Sungai Linggi, kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited dalam hal itu dan mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan sama ada dalam bentuk kompaun, denda atau penjara selaras dengan perundangan yang terlibat.
“Kerajaan negeri amat menggalakkan kerjasama orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak kerajaan negeri sekiranya terlihat kejadian seumpama ini berlaku pada masa akan datang.
“Orang awam boleh terus menghubungi pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) atau talian kecemasan sambungan kepada polis untuk tindakan pengawalan dan pencegahan, demi kelestarian sumber air Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kelmarin, sekitar pukul 7.30 malam, pihak BKSANS telah menerima aduan berkenaan pencemaran air seakan minyak yang memasuki Sungai Linggi di sekitar kawasan Jalan Pantai, Seremban.
Katanya, operasi bersama di antara BKSANS dan JAS Negeri Sembilan telah bermula sekitar pukul 9 malam di sepanjang laluan Jalan Pantai dan telah mengenal pasti satu premis bengkel lori yang disyaki suspek dalam kes pelepasan cecair minyak ini ke dalam Sungai Linggi.
“Proses persampelan air telah dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan. Kes ini sedang dalam siasatan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit di bawah kesalahan pencemaran sumber air,” katanya.
Jelas Aminuddin, lesan daripada pelepasan cecair seakan minyak ini ke dalam Sungai Linggi telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi telah memberhentikan proses rawatan air mentah kerana telah mengesan kehadiran cecair tersebut menerusi ujian bau yang mencatatkan rekod sehingga 11 Ton pada pukul 9.20 pagi, semalam (5 Mei 2024).
“Rekod bacaan tertinggi adalah mencecah 21 Ton pada pukul 10.30 pagi. Namun begitu, bacaan kadar bau tersebut semakin menurun dan pada pukul 4.30 pagi hari ini, bacaan Ton yang direkodkan adalah pada dua Ton.
“Sumber air mentah telah kembali pulih dan LRA Sungai Linggi telah memulakan semula operasi sekitar pukul 1.30 petang hari ini,” katanya.
Beliau menambah, pemberhentian operasi LRA Linggi telah memberikan kesan gangguan bekalan air kepada seramai 37,000 pengguna yang berada di daerah Port Dickson dan sebahagian di daerah Seremban.-UTUSAN.










