KUANTAN: Kerajaan negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) berjaya menyelesaikan 103 projek Pembangunan Bekalan Air Pahang setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua projek itu membabitkan kos berjumlah RM121.2 juta.
Tambahnya, setakat ini juga, kerajaan negeri masih mempunyai 32 projek yang sedang dalam peringkat pelaksanaan.
“Surat Setuju Terima (SST) sudah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM461 juta.
“Selain itu, projek masih belum dilaksanakan, namun ia di peringkat pra-pembinaan. Kerja-kerja ini termasuk merancang, juru perunding dan mendapatkan kelulusan pelbagai peringkat sama ada pengurusan perolehan atau kelulusan perancangan projek,” katanya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura) yang ingin tahu berkaitan kedudukan semasa kewangan Paip dalam menampung keperluan pembangunan dan naik taraf bekalan air di negeri ini.
Menurut Wan Rosdy lagi, sejajar hasrat kerajaan negeri merealisasikan pengurangan masalah bekalan air kepada 90 peratus pada 2026, sejumlah 82 projek sedang dalam peringkat pra-pembinaan membabitkan komitmen kewangan RM1.91 bilion.
“Kerajaan negeri dan Paip akan sentiasa berusaha memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan darimasa ke semasa,” katanya.
Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri sedaya upaya membantu Paip agar ia menjadi sebuah syarikat yang mempunyai tadbir urus baik dan kewangan yang kukuh.
“Kewangan Paip menunjukkan satu peningkatan yang ketara. Buat pertama kali dalam sejarah pengkorporatan, Paip berjaya mencatat keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023.
“Usaha ini bukan datang secara sekelip mata, ia sudah pasti hasil saban tahun menerusi tadbir urus yang baik dan penambahbaikan berterusan dari masa ke semasa,” jelasnya.
Menurutnya, kedudukan aliran tunai yang lebih positif dan kukuh adalah lebih diutamakan bagi memastikan Paip berdaya saing dalam menyediakan kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX). – UTUSAN










