SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif menawarkan latihan dan pengajian untuk memenuhi keperluan terhadap pembangunan tenaga pakar dalam pelbagai bidang kritikal seperti perubatan dan profesional di negara ini.
Bagaimanapun, universiti terbesar itu menawarkan kursus-kursus sedemikian kepada Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Akta UiTM 1956 (Akta 173) untuk melahirkan pakar dan profesional dalam kalangan kumpulan itu.
Justeru, program pembangunan kepakaran dalam bidang-bidang kritikal sewajarnya perlu turut ditawarkan oleh universiti-universiti lain bagi memenuhi keperluan di negara ini.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, UiTM memainkan peranan untuk mewujudkan latihan bagi kursus-kursus profesional di samping program pengajian perdana (diploma, sarjana muda dan pascasiswazah) sebagai usaha melahirkan tenaga pakar dalam kalangan Melayu dan bumiputera.
“Dalam sistem pendidikan, saya khusus kepada UiTM, balik kepada bidang profesional tadi memang fokus kepada sistem kita, maksudnya apa yang UiTM boleh bantu untuk memastikan dalam menyumbang kepada laluan yang orang boleh sampai ke tahap profesional.
“Betul program parallel pathway bagi kardiotorasik, UiTM yang pertama tawarkan pada 2020. Seingat saya, perbincangan sebelum ini memang universiti awam lain akan bergerak sebab bukan UiTM sahaja yang ada fakulti perubatan dan hospital, universiti awam lain pun ada.
“Jadi, itu yang saya kata berbalik kepada pola pendidikan tinggi sekarang, 50-50 swasta dan universiti awam. tidak ada yang halang universiti lain, yang ada juga sesetengahnya pusat pengajian perubatan (swasta) ada hospital juga tetapi tidak melaksanakan program tersebut.
“Tetapi dalam keadaan polemik sekarang ini, fokusnya kepada UiTM sahaja. Sebenarnya tanyalah kenapa orang lain tak buat? Betul, universiti lain perlu tawarkan juga. Kedua, kita tengok dalam konsep pengajian perubatan, UiTM ini antara yang kemudian, macam saya katakan UiTM melaksanakan tanggungjawabnya kepada fokusnya (Melayu dan bumiputera),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, UiTM juga menjadi antara institusi pertama menawarkan latihan profesional bagi kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekitar 1956 atau 1957 sebelum diikuti universiti awam dan swasta lain seperti yang ada pada hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM bukan penyelesaian masalah kekurangan pakar perubatan sedang dihadapi negara ketika ini.
Dalam pada itu, Shahrin menjelaskan, tawaran kepada pelajar antarabangsa adalah berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara serta kebenaran penjanaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan universiti menjana pendapatan.
“Maka kita pengurusan UiTM waktu itu mendapat kebenaran daripada kementerian, membuka ruang pada waktu itu hanyalah (persetujuan) G2G (government to government) merangkumi negara-negara Nusantara dan negara-negara Islam, itu asal,” jelasnya.
Katanya, pengurusan UiTM sedang mengemaskini akta dan punca kuasa untuk melaksanakan tatakelola dengan jelas seperti termaktub dalam Akta 173 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174). – UTUSAN









