Jangan ambil mudah cabaran UM-Damansara United

Jangan ambil mudah cabaran UM-Damansara United

PEMAIN pertahanan JDT, Daniel Lima De Castro melepaskan tendangan pada aksi pusingan pertama 16 terbaik Piala FA 2026/2027 menentang UM-Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memberi amaran kepada pemainnya agar tidak bersikap sambil lewa menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA menentang UM-Damansara United di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Menurut Munoz, walaupun JDT mempunyai kelebihan jaringan yang besar, skuad Harimau Selatan perlu mempamerkan permainan bertenaga bagi merebut tiket ke pusingan suku akhir.

Beliau menegaskan bahawa penggiliran pemain merupakan kunci utama bagi Harimau Selatan untuk mengharungi saingan padat di saingan Liga Malaysia mahupun pentas Asia dengan permainan berintensiti tinggi.

“Semua perlawanan adalah penting buat JDT. Kita mempunyai skuad yang besar dan memiliki barisan pemain berkualiti, setiap pemain yang dipilih perlu memberikan persembahan terbaik.

“Sebab itu kita lakukan penggiliran pemain, tidak kira pertandingan apa atau siapa pihak lawan, yang penting pemain yan diturunkan memberikan 100 peratus di dalam padang,” katanya.

Isnin lalu, Manuel Hidalgo muncul wira JDT menewaskan UM-Damansara 4-1 dengan meledak dua gol manakala Jairo Da Silva dan dan Dani Bolt masing-masing menjaringkan satu gol.

Dalam pada itu, pengendali dari Sepanyol tersebut turut meluahkan kemarahannya berhubung gol tunggal yang dijaringkan pihak lawan pada penghujung babak perlawanan yang berpunca daripada kelalaian benteng pertahanan.

Beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan sikap kurang fokus ketika beraksi, sambil menuntut komitmen penuh dalam aspek serangan mahupun pertahanan tanpa mengira kedudukan mata.

“Saya sangat marah dengan tindakan itu. Ia berpunca daripada sikap ambil mudah dan kita tidak boleh membiarkan perkara seperti ini berlaku lagi. Bola sepak bergerak dua arah, iaitu menyerang dan bertahan.

“Sama ada anda beraksi dalam saingan piala, liga, atau sedang mendahului 5-0, 8-0 mahupun 12-0, anda perlu mengekalkan disiplin dan komitmen yang sama untuk pasukan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan barisan pemainnya supaya lebih matang di dalam padang dan tidak mengulangi kesilapan mudah yang boleh memakan diri pada perlawanan akan datang.

“Semua orang melakukan kesilapan, tetapi kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama. Hanya orang bodoh sahaja yang mengulangi kesilapan berulang kali,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×