SEBELUM ini, beberapa kali juga Mila Jirin meminta keizinan kepada suaminya, Isz Mustapha untuk dia mengeluarkan single baharu namun ditolak kerana khuatir penyanyi itu tidak dapat membahagikan masa antara perniagaan dan keluarga dengan nyanyian.
Tambah pula, perniagaan majlis perkahwinan yang diusahakannya bersama Isz semakin berkembang dan mula menampakkan hasil.
Namun keinginan untuk menyanyi masih menebal dalam diri seorang Mila Jirin, maka majlis perkahwinan yang dianjurkannya menjadi tempat untuk melempiaskan rindu kepada bidang yang dicintai.
Lagu-lagu yang didendangkan, jika bukan karyanya yang lama, lagu penyanyi lain yang menjadi sandaran. Sampaikan pelanggan-pelanggan bertanya, tiadakah lagu baharu dari Mila?
Cubaan sekali lagi berhasil apabila Isz atau nama sebenarnya Ahmad Ailis Mohamed Mustapha akhirnya terbuka hati lalu memberi keizinan kepada isterinya untuk kembali ke dunia nyanyian dengan lagu baru berjudul Tersimpan Dalam Hati.
“Ketika awal dahulu, suami saya tidak mengizinkan untuk saya menyanyi kerana khuatir tentang pembahagian masa. Katanya fokus sahaja kepada perniagaan dan keluarga.
“Namun, dia pernah berkata kepada saya, apabila tiba masa sesuai, kita akan buat (album).
“Masya-Allah, kini masa yang paling sesuai. Suami bukan sahaja mengizinkan, tetapi turut menerbitkan dan melaburkan dana untuk album ini. Katanya, dia mahu saya menyanyi. Tentang dana, saya tak perlu risau.
“Dan saya minta sebuah lagu sahaja, namun dia berbesar hati untuk melaburkan duit bagi pembikinan sebuah album. Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Mila memaklumkan antara sebab sebelum ini tidak mendapat keizinan suami adalah kerana anaknya, Mohd Arif Zikri yang membesar dan memerlukan perhatian ibu bapa.
“Masa yang sesuai itu bermaksud anak saya sudah besar. Suami saya menyaksikan betapa sibuknya kehidupan saya sebagai artis, ke sana ke mari. Isz kalau boleh tidak mahu keadaan itu berlaku ketika Arif memerlukan ibunya.
“Sekarang anak saya sudah sembilan tahun, sudah mampu berdikari. Jadi suami saya memberi keizinan saya kembali menyanyi,” ujarnya.
Sementara itu Mila memaklumkan penghasilan karya baharu juga menjadi strategi untuk memperkenalkan dirinya kepada audiens baharu yang lebih muda.
“Antara sebab saya selalu pujuk suami saya agar memberi keizinan untuk saya kembali menyanyi adalah untuk memperkenalkan diri saya kepada generasi baharu kerana kebanyakan mereka tidak mengenali siapa Mila Jirin.
“Pernah berlaku sebelum ini apabila anak kepada pelanggan saya bertanya kepada ibunya siapa saya. Agak logik juga kerana ketika saya popular dahulu, mereka mungkin belum lahir atau sudah membesar.
“Mungkin memperkenalkan single baharu ini juga dapat memberitahu kepada generasi baharu bahawa saya juga sebelum ini merupakan seorang penyanyi,” kongsinya.










