Keluarga tarik nafas lega,kematian Gaik Yap terbela

Keluarga tarik nafas lega, kematian Gaik Yap terbela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Keluarga mendiang Chee Gaik Yap yang mati dibunuh 18 tahun lalu, menarik nafas lega selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas ahli perniagaan, Shahril Jaafar, 43.

Jurucakap keluarga mendiang, Datuk Lydia Ong Kok Foi berkata, selama ini kesemua mereka tidak dapat tidur lena selagi penjenayah yang membunuh Gaik Yap tidak mendapat hukuman setimpal dengan perbuatannya.

Jelasnya, ahli keluarga men­diang terutama bapanya, Chee Ah Sau, 67, sering gelisah, seolah-olah trauma untuk mendengar keputusan mahkamah kerana bimbang tidak berpihak kepada mereka.

“Malah pada 2013, Ah Sau cuba terjun dari tingkat dua bangunan selepas kecewa dengan keputusan mahkamah membebaskan Shahril ketika itu, namun tindakan tersebut sempat dihalang beberapa wartawan.

“Kini bapa mendiang sangat gembira kerana kematian anak perempuannya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Lydia yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, beliau sendiri mengikuti perkembangan kes itu sejak 18 tahun lalu.

Katanya, selama ini dia bersama-sama ahli keluarga mangsa berusaha keras bagi memastikan kematian Gaik Yap mendapat keadilan.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Shahril kerana membunuh eksekutif pemasaran itu, 18 tahun lalu.

Kes pembunuhan Gaik Yap mendapat liputan meluas selepas mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×