Kegembiraan berganda buat guru muda - Utusan Malaysia

Kegembiraan berganda buat guru muda

NOR Azim Norddin (kanan) dan abangnya, Nor Aiman berkongsi kegembiraan selepas mereka meraih Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan pada majlis yang diadakan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegembiraan berganda buat guru muda, Nor Azim Norddin 24, apabila dia bukan sahaja meraikan sambutan hari guru buat pertama kalinya malah menerima pula Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan.

Nor Azim yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana, Port Dickson menerima anugerah itu selepas dia memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.88 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Jasmani) dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

Nor Azim berkata, hari ini begitu bermakna buat dirinya apabila pertama meraikan sambutan hari guru meskipun tidak sampai setahun bergelar seorang pendidik.

“Dalam tempoh tersebut walaupun berdepan cabaran tetapi hasil tunjuk ajar dari guru senior, mereka telah banyak membantu saya untuk bangunkan kemahiran daripada segi teknik mengajar.

“Sebagai guru muda, saya berasa sangat teruja untuk terokai lagi bidang pendidikan ini. Alhamdulillah persekitaran sekolah di tempat saya sangat bagus dan dikeliling guru-guru yang sangat menyokong antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Bilangan 2 2024 di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pada majlis itu, seramai 152 penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan diraikan
dengan masing-masing menerima insentif wang tunai sebanyak RM5,000 dengan nilai keseluruhan insentif yang disumbangkan kerajaan Negeri Sembilan itu adalah sebanyak RM760,000.

Nor Azim berkata lagi, lebih manis, dia dapat meraikan kegembiraan itu bersama abangnya Nor Aiman, 25, yang turut menerima anugerah sama pada hari ini.

Sementara itu, Nor Aiman yang kini bekerja sebagai jurutera turut menyatakan kesyukuran di atas penganugerahan yang diterima yang dianggapnya sebagai balasan hasil usaha keras yang dilakukan selama ini.

“Saya percaya Nor Azim juga berfikiran begitu. Hasil penat lelah kami dua beradik selama ini dengan bersaing secara sihat sesama kami bagi mendapatkan keputusan cemerlang akhirnya membuahkan hasil.

“Ini semua sokongan daripada keluarga, terutamanya ibu yang banyak menbantu selain para pensyarah kami. Tanpa mereka tidak mungkin kami dapat kecapi kejayaan sebegini,” katanya yang merupakan graduan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL- MIAT) Sepang, Selangor.

Sementara itu ketika berucap, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan tidak terkecuali memerlukan tenaga sumber daya manusia berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pembangunan dan pelaburan negeri itu.

Oleh demikian katanya, melalui pendidikan, anak-anak negeri ini dapat dipersiapkan untuk menjadi tenaga kerja mahir dan pemimpin umat yang berkualiti yang sangat diperlukan oleh negeri dan negara.

“Pelaburan yang berkualiti tinggi bukan sahaja memerlukan polisi dan infrastruktur yang baik tetapi juga bakat-bakat terbaik dalam kalangan putera-puteri terbaik Negeri Sembilan yang bakal mengisi peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan,” kata beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN