Johor hadapi kekurangan lebih 2,000 petugas kesihatan - Utusan Malaysia

Johor hadapi kekurangan lebih 2,000 petugas kesihatan

LING TIAN SOON menggulung perbahasan dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Negeri ini menghadapi masalah kekurangan kakitangan di semua fasiliti kesihatan awam dengan 2,389 jawatan masih belum diisi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, isu itu akan bertambah serius sekiranya tiada perancangan rapi dalam tempoh terdekat setelah sebuah hospital baharu mula beroperasi tahun depan.

Justeru, kerajaan negeri mencadangkan untuk mewujudkan skim khas atau insentif khas kepada kakitangan bagi menarik minat mengisi kekosongan itu.

“Berdasarkan Data Perjawatan sehingga 30 April lalu, sebanyak 2,389 jawatan masih belum diisi. Isu ini akan bertambah serius sekiranya tiada perancangan rapi setelah  pengoperasian Hospital Pasir Gudang pada tahun depan memerlukan lebih  2,200 jawatan. 

“Kita mencadangkan skim khas atau insentif khas kepada kakitangan yang bertugas di Johor Selatan diwujudkan bagi meringankan beban mereka yang sudah tentu menanggung kos hidup yang tinggi. 

“Dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan usul kenaikan gaji bagi penjawat awam akan dibentangkan pada hujung tahun ini, saya berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan cadangan kerajaan negeri ini,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng memberitahu kemajuan projek Hospital Pasir Gudang mencapai kemajuan fizikal pada tahap 73.81 peratus, lebih awal daripada dijadualkan.

Hospital Pasir Gudang dijangka siap dan serah pada 13 Mac 2025 dan bakal beroperasi pada Mei tahun depan yang memberi manfaat kepada lebih 900,000 penduduk di Pasir Gudang dan  kawasan sekitar. 

“Penduduk Pasir Gudang bakal mendapat klinik kesihatan yang baharu, Klinik Kesihatan Cendana dalam pembinaan dengan kos peruntukan sebanyak RM36.7 juta dan dijangka akan siap pada November tahun ini,” katanya.

Klinik Kesihatan Cendana akan menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian, kecemasan, rehabilitasi, x-ray, makmal patologi dan lain-lain kepada penduduk setempat di kawasan Pasir Gudang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN