SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Institut Jantung Negara (IJN) disaran membentuk kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi menyelesaikan isu tujuh pengamal perubatan yang didakwa ‘terkandas’ selepas program parallel pathway kardiotorasik mereka tidak diiktiraf.
Kerjasama tersebut melibatkan proses pembelajaran sedia ada selain menyediakan persiapan menubuhkan program kepakaran pembedahan kardiotorasik IJN di UM dan mendapat kelulusan daripada badan pengiktirafan dalam negara termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
Ini kerana, program sedia ada, Program Pascasiswazah Pembedahan Kardiotorasik UiTM – IJN mempunyai tenaga pakar membabitkan tiga pengajar berstatus profesor penuh dan dua profesor madya selain 11 profesor adjung dari IJN dan seorang profesor pelawat antarabangsa dari Monash University, Melbourne dalam bidang tersebut.
Kaedah itu dicadang sebagai penyelesaian awal bagi membantu pengamal perubatan itu mendapat pengiktirafan dengan menjalani latihan kepakaran dan memenuhi keperluan pakar perubatan kardiotorasik di negara ini.
Bekas Pengerusi UiTM, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, dalam isu tersebut, UiTM perlu kekal dengan dasarnya untuk Melayu dan bumiputera tetapi tidak bermaksud tidak boleh membantu institusi atau universiti lain menjalankan program tersebut.
Menurut beliau, UiTM sebelum ini terlibat membantu UM untuk menyediakan dokumentasi untuk mendapat kelulusan memulakan program sama di UM.
“Selepas mendapat kelulusan, ia dirancang berjalan bersama di bawah pengawasan ‘board of studies’ yang sama, serta hanya satu sekretariat kerja yang terdiri daripada semua pihak dari IJN, UM dan UiTM.
“Bagaimanapun kerana buat masa ini UM hanya mempunyai seorang pakar bedah kardiotorasik, oleh itu memulakan usaha UiTM bersama IJN sehingga mereka turut boleh memberi ijazah kepakaran menjadi pilihan terbaik, lebih praktikal. Juga memandangkan IJN bersama-sama UiTM menjalankan program kepakaran itu sejak 2020,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, menurut beliau, jika keadaan terlalu mendesak, UiTM dicadang menggunakan sayap perniagaan mereka untuk menerima pelajar khususnya bukan Melayu atau bumiputera bagi menjalani kursus kardiotorasik di universiti itu.
Dalam pada itu, Ibrahim Shah yang juga bekas Naib Canselor UiTM Ke-2 berkata, cadangan kerjasama antara IJN , UM dan UiTM dilakukan supaya kerajaan tidak mengambil langkah meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi mengiktiraf kursus parallel pathway tersebut.
“Tindakan mengekalkan akta itu akan menyelamatkan nama baik kerajaan serta badan-badan pengiktirafan pengamal perubatan di negara ini kerana meminda undang-undang bagi membolehkan parallel pathway tersebut diiktiraf, disifatkan tidak profesional atau berkredibiliti.
“Sedangkan program parallel pathway yang dijalankan berbentuk komersial di Malaysia oleh sebuah persatuan, bukannya institusi pendidikan mahupun kolej perubatan, mencetuskan polemik kerana tidak diiktiraf oleh mana-mana badan perubatan termasuk General Medical Council (GMC) United Kingdom (UK) KPT. Jangan ‘halalkan’ benda yang ‘haram’,” tegasnya.
Katanya lagi, kerjasama awal IJN, UM dan UiTM penting untuk meredakan ketegangan antara Melayu dan bumiputera dengan kaum lain berikutan wujud perbalahan mengenai pengambilan mahasiswa di universiti terbesar itu.
UiTM adalah institusi pertama dan satu-satunya universiti menawarkan kursus dalam bidang kardiotorasik di peringkat pasca siswazah yang dimulakan pada 2020.
Program itu dijalankan dengan kerjasama IJN dan mendapat kelulusan daripada KPT, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC). – UTUSAN










