Hak milik terbatal jika peneroka jual tanah pemberian kerajaan-MB Kelantan

Hak milik terbatal jika peneroka jual tanah pemberian kerajaan-MB Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (kiri) menyerahkan geran tanah kepada salah seorang peneroka di Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan akan membatalkan tanah yang diberikan kepada peneroka sekiranya mereka dikesan menjualnya kepada pihak lain.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pemberian tanah dan geran itu sebagai warisan untuk kegunaan generasi akan datang.

“Saya nak pesan supaya jangan jual tanah kepada orang lain dan kita perlu menjaganya. Kami berharap tanah yang diberikan ini dapat dikekalkan sebagai aset untuk anak cucu dan generasi seterusnya yang memerlukan tanah.

“Jika ada, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk membatalkan hak milik tanah. Penerima perlu bersyukur kepada Allah kerana terpilih untuk menerima geran hak milik tanah,” semasa menyampaikan ucapan dan merasmikan Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Jajahan Gua Musang di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 3 di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peneroka Mat Yusof Mat Yaziz, 82, menyifatkan pemberian geran tersebut sebagai satu hadiah yang tidak terhitung nilainya terutamanya semasa meniti usia senja ketika ini.

“Saya bersyukur akhirnya impian untuk melihat dan memegang surat penyerahan hak milik tanah yang diusahakannya sebelum meninggal dunia termakbul.

“Penyerahan geran ini merupakan hadiah tidak ternilai kerana saya telah menantikan saat ini lebih 40 tahun yang lalu. Alhamdulillah, hari ini saya telah mendapat hak milik tanah untuk ladang kelapa sawit dan getah yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu,” ujarnya.

Seorang lagi penerima geran, Aziz Abdullah, 67, berkata, dia bersyukur apabila dapat melihat dan memegang surat penyerahan hak milik tanah yang diusahakannya sebelum meninggal dunia.

Katanya, ramai warga emas yang turut memperoleh geran hak milik tanah hari ini sangat terharu kerana masih sempat menerimanya dengan tangan sendiri.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN