MANILA: Kawasan empangan yang kering-kontang akibat kemarau di utara Filipina mengejutkan penduduk apabila muncul runtuhan peninggalan sejarah sejak berabad lalu.
Lapor Reuters, struktur dari bandar lama itu dikenal pasti sebagai sebahagian dari gereja yang tenggelam di wilayah Nueva Ecija.
Bandar lama itu dipindahkan pada 1970an semasa pembinaan empangan berkenaan yang kini berfungsi sebagai pengairan utama dan sumber air di Nueva Ecija serta wilayah berdekatan.
Bekas jururawat, Aurea Delos Santos, 61, berkata, dia teruja untuk melihat peninggalan purba itu apabila mendapat tahu mengenai gereja lama di bandar Pantabangan.
Ketiadaan hujan sejak kebelakangan ini juga mendatangkan rahmat buat penduduk tempatan apabila kawasan itu menjadi tarikan pelancongan.
Seorang nelayan, Nelson Dellera berkata, dia memperoleh sekitar 1,500 hingga 1,800 peso (RM123-RM148) setiap hari bagi membawa pelancong ke lokasi itu, berbanding pendapatan memancing hanya 200 peso (RM16) sahaja.
Filipina dan negara-negara lain di Asia Tenggara bergelut dengan suhu panas melampau sehingga menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan dan orang ramai digesa menghabiskan masa di rumah bagi mengelakkan strok haba.










