Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus

Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus

Anwar Ibrahim berbual dengan penerima Tokoh Pekerja Negara (OKU), Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya semalam. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berita baik kepada 1.6 juta penjawat awam apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kenaikan gaji kepada golongan tersebut lebih 13 peratus berkuat kuasa 1 Disember tahun ini.

Perdana Menteri mengumumkan per­kara itu pada sambutan Hari Pekerja 2024 di sini dan berkata, kenaikan tersebut adalah yang tertinggi dalam sejarah selepas 12 tahun tiada penambahbaikan dilaksanakan untuk penjawat awam.

“Pada masa ini pendapatan menyeluruh minimum adalah pada kadar RM1,765. Saya setuju tak munasabah.

“Maka tahun ini kriteria ukuran baharu sistem saraan iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih RM2,000,” kata Anwar ketika menyampaikan amanat di hadapan lebih 3,000 pekerja pelbagai sektor di negara ini di sini semalam.

Menurut beliau, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun di­te­tap­kan selepas 1 Disember pada kadar RM2,000 melibatkan implikasi kewa­ngan kerajaan berjumlah RM10 bilion.
Beliau berkata, kenaikan tersebut adalah antara keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurut Anwar, Kerajaan Sabah dan Sarawak turut bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

CUTI

Anwar berkata, elaun-elaun yang akan ditambah baik umpamanya cuti bersalin dari 60 ke 90 hari, cuti paternal, peruntukan aduan diskriminasi, peruntukan fleksibel working arrangement, perlindungan dari segi seksual harassment dan peruntukan mengenai aduan.

Perdana Menteri berkata, beliau pada tahun lalu mengarahkan setiap jabatan perlu dilibat urus agar tidak mahu mana-mana pihak ketinggalan dalam kajian kadar upah ini.
“Kita teliti dari segi kewangan dan bagaimana kita boleh tampung supaya ia tidak melebihi hutang, defisit mesti rendah, gaji kena naik.

“Ini memang memerlukan kepakaran luar biasa tetapi saya juga susah bagaimanapun, letih bagaimanapun, saya lega kerana tunaikan amanah kepada rakyat,” katanya.

Katanya, SSPA akan melihat aspek menyeluruh dan kenaikan gaji ini tidak terpakai kepada semua iaitu mereka yang didapati tidak produktif atau sering malas, tidak ada ‘ganjaran’ mereka.

“Ini (kenaikan gaji) bukan terpakai untuk semua, kalau rekod kerjanya itu tidak membanggakan, malas, sering lewat bekerja dan tidak memberikan tumpuan yang baik, mereka akan dipantau supaya tidak diberikan ganjaran seperti mana kita janjikan.

“Jadi tanggungjawab kita bersama, baik persatuan dan rakan-rakan di jabatan, pastikan dua tiga orang yang lembab ini biar diketepikan dan dikekalkan di jawatan itu selama-lamanya,” katanya.

UPAH

Pada masa sama, Anwar mahu sektor swasta yang mencatat keuntungan tinggi untuk memberikan layanan sama kepada pekerja dengan menawarkan kadar upah lebih baik mengambil kira pengumuman kerajaan kepada penjawat awam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta agar golongan pekerja sentiasa bangkit dan melawan pihak sengaja melaga-lagakan serta merendahkan darjat sesiapa.

Katanya, tindakan pihak menghina kaum, agama selain menafikan hak rakyat tidak patut dilayan.

Kata beliau, perincian lanjut berhubung kenaikan gaji penjawat awam di bawah SSPA akan dibentangkan sepenuhnya pada Belanjawan 2025 yang dijangka Oktober ini.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman mengenai pelarasan gaji yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia satu pengumuman positif buat penjawat awam memandangkan kali terakhir kenaikan adalah sekitar 13 peratus.

“Menjadi komitmen Kerajaan Madani (peningkatan gaji) adalah lebih tinggi daripada itu,” katanya selepas sambutan Hari Pekerja 2024 di sini.

Pada masa sama, katanya, Perdana Menteri turut member komitmen kepada pekerja swasta mengenai projek rintis dasar gaji progresif membabitkan 1,000 syarikat tempatan yang akan bermula Jun ini.

Berikutan pengumuman itu, Fahmi berkata, untuk tahun ini ia menyaksikan peningkatan gaji dalam sektor kerajaan dan swasta yang agak tinggi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN