KUALA LUMPUR: Sistem ekonomi dan kewangan Islam tidak harus tertumpu hanya kepada perbankan dan industri halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ekonomi dan kewangan harus meliputi kerangka Maqasid Syariah dan cabaran baharu khususnya bidang sekuriti makanan dan Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau berkata, ekonomi dan kewangan Islam kini mempunyai potensi begitu meluas dan sekali gus memerlukan penggemblengan idea dan usahasama pelbagai pihak.
“Kewangan Islam tidak harus terbatas kepada sistem bank yang halal atau industri halal, sebaliknya ekonomi dan kewangan harus meliputi kerangka Maqasid Syariah
“Kekuatan ekonomi Islam harus mencakup bidang meluas dan tidak kepada kaedah bidang fiqhiah, hukum semata-semata.
“Tetapi memperluaskan kepada cabaran baharu, industri dan bidang sekuriti makanan, digital dan AI,” katanya ketika berucap dalam Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, ekosistem kewangan Islam perlu berkembang secara progresif dan memberikan penekanan lebih kepada berasaskan aspek nilai kewangan.
“Ia mengatasi niat kepada keuntungan atau untuk tujuan di mana kekayaan bukan hanya terkumpul antara segelintir pihak, tetapi untuk memartabatkan masyarakat dan pelaburan membawa kemakmuran yang seimbang,” katanya.
Anwar kemudian juga mengajak negara dan pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk meningkatkan dan memudahkan rentas sempadan dan akses kepada meningkatkan inovasi, perdagangan dan pelaburan.
Katanya, hal ini setelah melihat saiz global kewangan perdagangan Islam hari ini mewakili hanya kurang daripada lima peratus dalam kalangan negara anggota.
“Ke arah menyokong perdagangan OIC global, Malaysia bercadang untuk melaksanakan kemudahan G2G (kerajaan antara kerajaan) bagi memanfaatkan perdagangan Islam kewangan, untuk sebahagian daripada kerjasama ekonomi antara negara OIC.
“Ini akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Islam,” katanya.











