KOTA BHARU: Dua bekas pegawai kanan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung pembinaan projek telaga jejari yang gagal berfungsi bagi membekalkan air kepada penduduk di negeri ini.
Tahanan reman yang bermula hari ini hingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan mereka disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Selain itu, dua lagi turut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Terdahulu, keempat-empat lelaki yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.45 pagi dengan menaiki van SPRM.
Kesemua individu itu memakai pelitup muka dan salah seorang daripada mereka berjalan menggunakan tongkat.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan AKSB selepas disyaki terbabit dalam pembinaan telaga jejari yang tidak berfungsi untuk membekalkan air kepada penduduk.
Menurut sumber, keempat lelaki berusia antara 40 hingga 60-an itu ditahan berasingan di sini, antara 7 hingga 10 pagi semalam.
Katanya, dua lagi yang ditahan merupakan pemilik syarikat yang diberi tanggungjawab sebagai konsultan bagi menyiapkan pembinaan telaga terbabit.
“Telaga jejari sepatutnya berfungsi untuk membekalkan air yang cukup kepada penduduk, namun projek itu tidak menghasilkan kuantiti air secara optimum,” katanya.
Sumber itu berkata, keadaan itu dipercayai berlaku ekoran amalan rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek pembinaan telaga jejari itu.
Ujarnya, SPRM turut menyita beberapa barangan daripada suspek seperti dokumen dan telefon bimbit.
Difahamkan, siasatan itu dilakukan hasil daripada rungutan dan aduan penduduk yang tidak berpuas hati dengan isu masalah air di Kelantan.-UTUSAN










