KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan sijil kelahiran anak angkatnya dalam usaha mendapatkan kewarganegaraan, 17 tahun lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas Lee Swee Theng, 59, mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Dia akan dipenjarakan selama tiga bulan jika gagal membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Swee Theng didakwa sengaja mengemukakan maklumat palsu dengan mengisi ruangan pertalian sebagai bapa bagi pendaftaran kelahiran anak angkat lelakinya di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kuala Lumpur sekitar jam 11.36 pagi pada 26 Disember 2007.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad yang mewakili tertuduh memohon agar lelaki itu tidak dikenakan hukuman penjara, sebaliknya sekadar hukuman denda minimum berikutan dia hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM500 sebulan dan merupakan penanggung tunggal keluarga.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Perak, Mohamad Salleh Jaafar Sidek memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Mengikut fakta kes, ketika hari kejadian 17 tahun lalu, tertuduh hadir ke kaunter JPN Kuala Lumpur untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak dengan mengemukakan MyKad miliknya dan isteri, sijil perkahwinan dan surat pengesahan kelahiran sebagai dokumen sokongan.
Permohonan tersebut kemudian diterima untuk diproses dan sijil kelahiran atas nama kanak-kanak berkenaan kemudian dikeluarkan.
Pada 9 Disember 2019, tertuduh telah hadir bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Jabatan Pendaftaran Negara daerah Kampar, Perak
untuk memohon kad pengenalan kali pertama.
Bagaimanapun semasa permohonan kad pengenalan diproses, semakan pegawai kaunter mendapati perbezaan warna kulit yang ketara di antara mereka berdua.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah berkahwin dengan isterinya sejak tahun 2001 namun tidak mempunyai anak. Tertuduh mengaku bahawa kanak-kanak berkenaan bukan anak kandungnya bersama isteri.
Tertuduh turut mengaku pengambilan kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat diuruskan oleh seorang wanita yang hanya dikenali dengan panggilan ‘Ah Song’ manakala kanak-kanak itu dijaga hingga kini.









