KUALA PILAH: Seorang pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Kuala Pilah di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri wang milik sebuah kedai serbaneka dalam kejadian di sebuah bank di daerah ini, Mac lalu.
Tertuduh, Anis Abdul Aziz, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman tersebut dari tarikh sebutan selepas mengambil kira hujahan pihak Timbalan Pendakwa Raya serta kejadian berkenaan hampir mengakibatkan kesan buruk kepada pekerja kedai serbaneka tersebut.
“Mahkamah mengambil kira isu kepentingan awam di mana tindakan tertuduh hampir menyebabkan pengadu (pekerja kedai serbaneka) kehilangan kerja dan dituduh pecah amanah,” tegasnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mencuri wang tunai berjumlah RM2,190 milik sebuah syarikat di sebuah bank kira-kira pukul 2.53 petang, 31 Mac lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, mangsa iaitu pekerja wanita berusia 20 tahun telah berada di bank berkenaan bagi melakukan satu transaksi memasukkan wang tunai hasil jualan harian milik syarikat melalui mesin deposit tunai (CDM) ke nombor akaun syarikat.
Bagaimanapun, semakan melalui penyata akaun bank syarikat mendapati tiada transaksi kemasukan wang pada tarikh tersebut dan mangsa telah membuat laporan polis.
Semakan kamera litar tertutup (CCTV) bank mendapati tertuduh semasa kejadian menggunakan baju kemeja berwarna ungu dan berseluar hitam telah mencuri wang tunai milik syarikat mangsa yang pada masa kejadian telah cuba dimasukkan ke dalam CDM.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon agar mahkamah dapat mengurangkan hukuman berikutan dia sudah pun berusia selain isterinya sakit dan anaknya masih kecil.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunisa Zainudin dalam hujahannya memohon hukuman setimpal agar faktor kepentingan awam diambil kira berbanding kepentingan peribadi.
“Pengadu hampir dibuang kerja dan berdepan tuduhan pecah amanah. Selain itu, tertuduh sudah berusia dan sepatutnya menjadi teladan serta pengajaran baik kepada masyarakat di luar sana,” katanya.-UTUSAN.










