PETALING JAYA: Hasil semakan tiga daripada lapan kesan cap jari di lokasi kejadian simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada rekod sepadan ditemukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah mendapatkan bantuan JPN bagi membuat semakan terhadap cari jari yang dianalisis pihak forensik.
“Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem. Kemungkinan kesan cap jari ditinggalkan di pusat beli-belah itu bukan ibu jari.
“Bagaimanapun, pihak polis giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada 21 Mei lalu, media melaporkan hasil analisis mendapati lima daripada lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian, tidak cukup sifat.
Razarudin dilaporkan berkata, baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia berkemungkinan individu berkenaan tidak pernah ditahan polis dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
Susulan itu, polis telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu disyaki suspek kejadian berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu seperti lakaran itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Pada 9 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian pemain negara itu disimbah asid.
Mohd. Shuhaily berkata, hasil semakan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan dan meninggalkan cap jari. – UTUSAN










