Buka ruang luas media lapor berita berkaitan pembangunan Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Buka ruang luas media lapor berita berkaitan pembangunan Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun bergambar bersama sebahagian pengamal media pada Majlis Malam Apresiasi Media 2024 di Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membuka ruang seluasnya kepada pengamal media untuk menyampaikan berita berkenaan negeri ini dalam memastikan segala dasar kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan sejarah sebelum merdeka, media adalah satu entiti yang sangat penting dalam memainkan peranan bermakna bagi pembangunan negara.

“Begitu juga kemerdekaan Tanah Melayu yang terhasil dari cetusan tulisan wartawan-wartawan nasionalis yang hebat melawan penjajah dengan mata pena dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Melayu, Fajar Sarawak, Pengasuh AlIkhwan dan Warta Malaya.

“Hari ini, aplikasi media sosial telah menjadi medium utama yang sangat berkuasa lebih-lebih lagi dalam mempengaruhi persepsi rakyat kerana kebergantungan mereka kepada media sosial sangat tinggi.

“Walaupun dunia semakin maju dan berubah, peranan media arus perdana masih wajar dipertahankan dan masih menjadi rujukan bagi sumber-sumber berita yang sahih untuk masyarakat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Malam Apresiasi Media 2024 di sini, malam semalam.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan itu turut dihadiri oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim serta ketua-ketua jabatan di negeri ini.

Jelas Aminuddin lagi, media berperanan menjadi ‘pemain utama’ kepada pembangunan minda rakyat yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Media massa pada masa kini bukan lagi menjadi medium hiburan semata-mata, bukan juga menjadi penyampai maklumat tentang isu-isu semasa malah menjadi wadah pencetus pembentukan minda masyarakat ke arah lebih kreatif dan kritis. 

“Sesuai dengan kuasa dan pengaruh yang besar pada media massa, ia adalah ejen kepada negara untuk membantu mendidik dan menyedarkan masyarakat,” katanya.

Malah menurut Menteri Besar, masyarakat bukan sekadar hanya membaca dan melihat ‘sajian’ yang dipaparkan media tetapi disuntik dengan kata-kata semangat dan sindiran untuk menyedarkan mereka agar peka dengan isu pembangunan insan dan negara.

Dalam pada itu katanya, bagi sebuah kerajaan, hubungan yang baik dengan pihak media adalah suatu kelebihan dari segi aspek penyampaian dasar-dasar kerajaan dan perancangan masa depan yang hendak dilaksanakan. 

“Oleh itu, pihak media dapat memberi liputan secara meluas dan mendalam berkaitan dasar dan rancangan kerajaan bagi membolehkan rakyat memahami dengan tepat.

“Kerajaan negeri membuka ruang seluas-luasnya untuk pihak media menyampaikan berita berkenaan negeri ini di setiap platform masing-masing. Saya dan rakan-rakan pentadbiran negeri ini sedaya upaya memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang kami mentadbir negeri ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN