MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan kebajikan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, yang parah akibat kemalangan diberi perhatian.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS melalui Timbalan Menteri, Adam Adli Abd. Halim bersama Majlis Sukan Negara (MSN) telah melawat atlet berkenaan.
Katanya, buat masa in Siti Nurul Masyitah perlu menjalani beberapa lagi pembedahan susulan.
“KBS bersama-sama MSN akan terus memantau dan memberikan bantuan serta tumpuan buat Siti Nurul Masyitah. Tumpuan kita adalah untuk memastikan dia kembali sembuh selain KBS masih menunggu laporan penuh daripada doktor untuk tindakan selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Belia Negeri (HBN) 2024 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, hari ini.
Siti Nurul Masyitah yang juga pelajar Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor mengalami retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada 11 Mei lalu.
Tambah Hannah, KBS memandang serius kebajikan semua atletnya termasuk ketika sedang menjalani proses pemulihan.
Menurutnya, proses tersebut tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya memberi masa dan ruang mencukupi untuk atlet kembali pulih.
“Bagi Siti Nurul Masyitah yang masih perlu menjalani pembedahan sudah pasti memerlukan masa (sembuh). Apabila atlet kita dicederakan tidak kira siapa termasuk Faisal Halim (pemain bola kebangsaan), mereka memerlukan masa jadi kita tidak boleh tergesa-gesa,” ujarnya. – UTUSAN











