KUALA LUMPUR: Seorang bekas kakitangan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 58 pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah lebih RM2 juta milik kesatuan itu, dua tahun lalu.
Murni Azlina Yurdeksi, 38, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Murni didakwa menggunakan 58 keping cek RHB Bank Berhad berjumlah lebih RM2 juta milik KRM sebagai tulen yang mana tandatangan pada cek berkenaan adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bank RHB di Wholesale City, Dang Wangi di sini di antara 5 Januari dan 19 Oktober 2022.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman dan Raihana Abdul Razak menawarkan jaminan sebanyak RM350,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam M. Vijay Kumar yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mengalami penyakit tiroid dan mempunyai empat orang anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Pada Disember 2022, KRM membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya dengan memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai seorang daripada penandatangan cek. – UTUSAN










